Ahad, 20 Julai 2008

Anak penjual ikan Pegawai Kadet Terbaik Palapes
BANGI 21 Jun - Keinsafan melihat kesusahan ayah menjual ikan di sekitar Pekan, Pahang menjadi pendorong graduan Ijazah Sarjana Muda bidang Pengajian Al-Quran dan Sunah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ali Musa (gambar), 24, untuk merubah kehidupan keluarganya.
Beliau yang ditauliahkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), UKM berkata, kesusahan hidup mengajarnya untuk berusaha dengan gigih supaya dapat membantu meningkatkan ekonomi keluarga.
Anak kedua daripada sembilan orang adik beradik itu berkata, selain menjual ikan di sekitar Pekan dan Kuantan, ayahnya juga menjadi buruh binaan.
''Saya dilahirkan dalam keluarga yang susah dan kerana itulah saya berazam untuk masuk ke universiti supaya apabila keluar nanti, saya boleh bekerja dan membantu meringankan beban ayah,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat majlis Istiadat Pentauliahan DiRaja Pegawai Kadet Palapes IPTA Ke-27 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman selaku Canselor UKM.
Sebelum itu, pada sebelah paginya, Tuanku Ja'afar berkenan memeriksa perbarisan Palapes di Dataran Gemilang, UKM, di sini.
Seramai 1,145 orang Pegawai Kadet Palapes dari 12 IPTA seluruh negara menyertai acara perbarisan.
Ali berkata, walaupun minat untuk menjadi anggota tentera begitu mendalam namun sekiranya ditawarkan untuk menjadi pensyarah, beliau tidak menolak.
Sementara itu, Pegawai Kadet Palapes Terbaik Laut dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Farhana Abdul Majid, 22, berkata, kesanggupan menerima dan berhadapan dengan cabaran membuatkannya memilih ketenteraan laut.
''Sejak di bangku sekolah lagi saya aktif dalam kadet polis dan saya akui bukan mudah untuk mengimbang antara pelajaran dengan latihan terutamanya latihan tiga minggu namun saya bersyukur semuanya telah tamat,'' kata penuntut tahun empat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan UiTM Shah Alam, Selangor .
Anak bongsu dari lima orang adik beradik yang dilahirkan di Kangar, Perlis ini berkata, dorongan untuk mengikuti latihan ketenteraan laut datang dari pihak universiti sendiri.
Katanya, UiTM giat menggalakkan para pelajarnya yang menjalani latihan Palapes supaya memilih bidang tentera laut.
Siti Noorseri Abdul Razak, 22, Pegawai Kadet Palapes Terbaik Udara, merupakan penuntut tahun keempat, jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.
Beliau berkata, minat dan cita-citanya begitu tebal untuk menjadi seorang pemandu jet pejuang negara pada suatu hari nanti.
''Banyak cabaran yang terpaksa dihadapi jika mahu menjadi pemandu jet pejuang namun itulah minat dan cita-cita yang saya tanam sejak sekian lama,'' kata anak ke-10 daripada 14 orang adik beradik.
Beliau berkata, ketika menjalani latihan udara di pangkalan udara Butterworth, ia merupakan suatu pengalaman yang amat berharga bagi dirinya dan memberi manfaat kepada bidang pengajian yang sedang diikutinya.

Tiada ulasan: