Ahad, 20 Julai 2008

Ilmu ketenteraan lahirkan generasi berilmu

Oleh HASNURUL MOHAMED
BANGI 21 Jun - Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman mengingatkan para pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) supaya meneruskan disiplin ketenteraan dalam kehidupan.
Baginda bertitah, corak kehidupan seorang pegawai tentera yang penuh disiplin, semangat kekitaan dan jati diri yang tinggi akan membantu pegawai kadet Palapes lebih maju dan cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi.
''Ilmu dan pengalaman yang telah diperolehi sepanjang menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet Palapes selama tiga tahun ini adalah satu nilai tambah yang boleh membantu diri untuk terus maju, berjaya dan dihormati,'' titah baginda.
Baginda bertitah selepas memeriksa perbarisan sempena Istiadat Pentauliahan DiRaja Pegawai Kadet Palapes IPTA Ke-27 di Dataran Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.
Perbarisan dihadiri 1,145 pegawai kadet Palapes dari 12 IPTA seluruh negara.
Antaranya termasuk Universiti Kebangsan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Titah baginda, biar apa pun kerjaya yang dipilih, para pegawai kadet diharap meneruskan sumbangan kepada pertahanan negara dengan menyertai pasukan simpanan tentera darat, udara mahu pun laut.
''Sejajar dengan tema 'Pelajar Berilmu Pemangkin Kedaulatan Negara', sebagai rakyat negara ini, anda mempunyai peranan penting untuk sama-sama memberikan khidmat dalam mempertahankan negara dan sentiasa bersedia apabila negara memerlukan khidmat anda,'' ujar baginda.
Baginda seterusnya mengingatkan para pegawai kadet supaya sentiasa memelihara imej, tingkah laku dan keterampilan.
Baginda bertitah, ia perlu supaya program Palapes dapat dikekalkan di samping memaparkan persepsi positif masyarakat terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tiada ulasan: